Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Bagi memanjatkan kesyukuran sempena memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik yang ke-43 tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di ibu negara.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; serta Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam) selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, diikuti bacaan Doa Kesyukuran Hari Ulang Tahun Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat sebelum diteruskan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.
Pada majlis tersebut, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung memotong kek puja usia serta berkenan menerima pesambah daripada Yayasan berupa sebuah rehal eksklusif yang direka khas dengan gabungan motif seni Islamik, dihiasi dengan logo Yayasan serta nama “Abdul Malik” dalam seni khat Thuluth yang dihasilkan oleh Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung memotong kek puja usia pada majlis tersebut. – GAMBAR RAFI ROSLI
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung memotong kek puja usia pada majlis tersebut. – GAMBAR RAFI ROSLI




GAMBAR RAFI ROSLI
Pesambah itu turut dilengkapi dengan sebuah Mushaf Al-Quran berserta terjemahan, buku Yasin dan penunjuk Al-Quran yang melambangkan penghormatan terhadap Al-Quran serta penghargaan terhadap warisan seni dan kraf Islam.
Sempena majlis berkenaan juga, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan berjumlah keseluruhan $74,000.
Sumbangan pertama berupa geran tahunan bermula tahun 2026 berjumlah $50,000 disampaikan kepada Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP), Kementerian Kesihatan dan diterima oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Perancangan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff,.
Sumbangan itu bertujuan menyokong usaha TABP dalam membantu pesakit daripada golongan yang memerlukan mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan bantuan kebajikan berkaitan, termasuk penyediaan peralatan perubatan, bahan guna habis perubatan, susu formula khas serta keperluan asas lain mengikut penilaian kes.
Bantuan tersebut turut melengkapi Skim Bantuan Perubatan Yayasan sebagai saluran tambahan bagi memastikan golongan memerlukan terus menerima bantuan kesihatan dan kebajikan yang sewajarnya.
Sementara itu, sumbangan berjumlah $24,000 disampaikan kepada An-Nur Harapan dan diterima oleh Pengurus Am, An-Nur Harapan, Dayang Melline binti Haji Jaini,.
Sumbangan berkenaan adalah bagi menyokong pelaksanaan Program UNIKLEARN yang diperkenalkan pada tahun 2018 untuk menyediakan program pembelajaran, pembangunan kendiri serta latihan kemahiran kepada golongan belia neurodivergen sebagai persediaan ke arah peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih berdikari.
Inisiatif tersebut sejajar dengan komitmen Yayasan dalam memperkasakan pembangunan modal insan secara inklusif melalui sokongan kepada organisasi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kebajikan kepada golongan berkeperluan khas.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik diputerakan pada 19 Ramadan 1403 Hijrah bersamaan 30 Jun 1983 Masihi dan dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan pada 18 Jamadilakhir 1434 Hijrah bersamaan 1 Mac 2013.
Sepanjang menerajui Yayasan, Duli Yang Teramat Mulia sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap pengurusan dan perkembangan yayasan serta kerap mempengerusikan mesyuarat jemaah tadbir, selain meninjau dan melibatkan diri dalam pelbagai projek dan aktiviti yang dianjurkan oleh Yayasan.
Turut hadir, ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim, para jemputan khas, pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan.
Source: Media Permata