UnikLearn perkenalkan program bagi autisme

UnikLearn perkenalkan program bagi autisme

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Pekerjaan adalah asas kepada kesejahteraan individu termasuk mereka yang mengalami gangguan spektrum autisme (ASD).

Dengan ini, sebuah syarikat permulaan tempatan yang dinamakan UnikLearn telah memperkenalkan projek yang mengetengahkan program latihan kerja dan latihan vokasional untuk belia autistik bagi membantu mereka mengatasi cabaran dalam mencari pekerjaan.

Semasa sidang akhbar yang diadakan di Auditorium DARe Anggerek Desa pagi tadi, Ketua Projek dari UnikLearn, Dayang Rasyidah Samah berkata, program berkenaan direka oleh ahli terapi profesional untuk belia autistik atau belia dengan kelewatan perkembangan dengan matlamat bagi membantu mereka mengatasi cabaran-cabaran termasuk pembelajaran dan mentafsir isyarat sosial, kerja berpasukan dan kemahiran berbilang tugas.

Menurutnya, individu autistik adalah unik dan UnikLearn berharap untuk menyalurkan cahaya positif kepada autisme ke arah integrasi dalam masyarakat.

Inisiatif ini merupakan salah satu daripada sahutan kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Tahun Baharu 2018 mengenai pindaan Akta dan Peraturan Pencen dan Elaun bagi Orang Kurang Upaya (OKU).

Dayang Rasyidah semasa memberikan penerangan pada sidang media berkenaan.

“ Oleh itu, kami berharap inisiatif ini dapat membantu menguatkan keupayaan mereka dengan menyediakan latihan yang berpotensi membantu mereka menjadi seorang yang berdikari,” katanya.

Program berkenaan kini dibuka untuk pendaftaran kepada individu berumur 16 tahun ke atas, didiagnosis ASD atau dengan kelewatan perkembangan.

Apabila pelatih didaftarkan, penilaian akan dilakukan dan kemudiannya akan memasuki fasa latihan di bawah penyeliaan seorang ahli terapi dan penyelia terlatih untuk memastikan setiap pelatih mencapai kejayaan yang diharapkan.

Bergantung kepada keupayaan kognitif pelanggan dan kesediaan untuk belajar, program berkenaan dijangka berjalan selama enam bulan sebelum pelatih diletakkan dalam penempatan kerja.

“Selepas fasa latihan, kami akan meletakkan mereka dalam penempatan kerja di bawah Unikkone yang akhirnya membawa kepada pekerjaan.

“Pada masa itu, kami berharap dapat memperluaskan penempatan kerja kami ke tempat latihan lain,” katanya.

Unikkone adalah jenama ais krim premium yang dihasilkan khas untuk UnikLearn dan para pelatih akan terlibat di barisan hadapan dengan menyediakan ais krim berperisa yang akan dijual di gerai yang terletak di kawasan Gadong dan akan segera beralih ke jualan dalam trak dan kafe.

Hasil daripada Unikkone akan dimasukkan ke dalam dana Biasiswa UnikLearn untuk pelajar dengan latar belakang berpendapatan rendah.

Antara pihak berkepentingan yang terlibat dengan projek perintis itu ialah ANNUR sebagai rakan sokongan utama, Progresif memainkan peranan sebagai rakan pemasaran dengan Startup Brunei sebagai pentadbir dan Kingston Beverage & Creamery.

Dayang Rasyidah berkata, “Inilah salah satu inisiatif pertama yang perlu dilakukan di negara ini dan kami berharap dapat mendapat sokongan orang ramai.”

Projek perintis ini, tambahnya, diharapkan untuk memberi kuasa kepada individu-individu yang berkeperluan khas dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang ditetapkan bagi mereka untuk memimpin kehidupan yang bermakna.

“Kami juga berharap untuk mempromosikan kemasukan dan penerimaan dalam masyarakat.

“Memandangkan ini adalah projek perintis, kami berharap dapat menjadikan program ini kekal dengan mengekalkan kualiti dan perkembangan latihan mungkin lebih baik – dengan perusahaan sosial lain di rantau ini,” katanya.

 

Source: Media Permata