BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Kejohanan Bola Sepak Amal Kick for Joy yang julung kali dianjurkan oleh An-Nur Harapan (ANH) dengan kerjasama BeeChamps FC dan disokong oleh Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), telah menghimpunkan ratusan pemain muda, keluarga dan penyokong komuniti di Padang FABD A, hari ini.
Hadir sekali gus menyempurnakan perasmian kejohanan itu ialah Pemangku Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Amirul Syazmie bin Haji Ibrahim.
Terdahulu, majlis penyerahan cek telah diadakan bagi memperi-ngati sumbangan yang dibuat melalui inisiatif Kick for Joy.
Kejohanan tersebut diadakan bagi menyokong program kemahiran hidup dan pravokasional utama ANH, UNIKLEARN, bertujuan untuk mengetengahkan nilai sukan inklusif sambil mengumpul dana bagi memperkukuhkan peluang latihan untuk belia dengan pelbagai kebolehan.
Persembahan khas oleh pelatih UNIKLEARN selama 5 hingga 10 minit telah menarik perhatian para hadirin, yang melambangkan inti pati di mana bola sepak boleh menjadi platform yang ampuh untuk membina keyakinan, persahabatan dan keterangkuman komuniti.
Kejohanan berkenaan telah dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Bawah 10 Tahun (B10), B13 dan B16. Pasukan-pasukan muda itu memulakan perlawanan yang pantas dan bersemangat dengan soko-ngan ibu bapa dan penyokong yang hadir.
Kejohanan diakhiri dengan penyampaian pingat dan anugerah kepada pasukan yang menang termasuk pemain yang cemerlang. Selain itu, ucapan penghargaan turut disampaikan untuk mengiktiraf jurulatih, sukarelawan, BeeChamps FC, FABD dan pelbagai rakan kongsi yang telah menjayakan acara itu.
Source: Media Permata