ANGGEREK DESA, Selasa, 3 April. - Hari Kesedaran Autisme Sedunia (World Autism Awareness Day - WAAD) disambut pada setiap 2 April di seluruh dunia sejak tahun 2008 untuk
meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai autisme dalam kalangan masyarakat, termasuk di peringkat keluarga mengenai kanak-kanak yang mengalami autisme.
Ia juga telah menjadi satu sambutan di peringkat global dan disambut di mana-mana sahaja di seluruh dunia, termasuklah di negara kita.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Projek UnikLearn, Business Analyst Startup Brunei, Dayang Rasyidah binti Samah semasa memberikan ucapan alu-aluannya dalam satu Sidang Media mengenai Autism Vocational Training and Internship bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan D&T, Anggerek Desa, di sini.
Sehubungan itu, Sidang Media itu jelasnya, adalah bertujuan untuk menjemput individu berumur 16 tahun ke atas yang mengalami Autism Spectrum Disorder (ASD) atau sebarang gangguan perkembangan untuk mendaftar Program UnikLearn bertempat di Pusat SPARK lifeskills (Lot 6780, Simpang 822, Kampung Jangsak) semasa waktu bekerja.
Program itu juga, jelasnya, merupakan program latihan vokasional dicipta oleh pakar terapi profesional untuk belia autistik.
Selain itu, ais krim premium Unikkone juga akan dihasilkan khusus buat UnikLearn yang mana para pelatih autistik akan terlibat di barisan hadapan dengan menjual ais krim menarik yang terdapat dalam dua bentuk iaitu jenis scoop dan push ups.
Ais krim itu akan dijual di Ibu Pejabat Progresif Cellular Sendirian Berhad dan kemudian dijual menggunakan trak dan kafe.
Apa yang penting masyarakat di negara ini perlu memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap autisme, memahami apakah keperluan yang berkaitan yang perlu dikuasai oleh individu autisme, serta mengetahui apa yang boleh mereka lakukan untuk memperbaiki kehidupan dan meningkatkan potensi individu yang memiliki ciri-ciri autisme.
Masyarakat juga perlu menyedari bahawa autisme adalah sebahagian daripada kehidupan dan menerimanya sebagai satu anugerah.
Source: Pelita Brunei